Muqaddimah
Binuuri wajhillaahil‘aziim. Bismillaahir rahmaanir rahiim. Allaahummaj ‘alni bisultaanil ‘aziim. Warahmatullil ‘aalamiin. Wabaraktu fiisya’in ‘aziim. Wabaraktu fiisya’in kun fayakuun. Allaahumma yaasiin. Walhamdulillaahi Rabbil ‘aalamin.
Dengan cahaya wajah Allah yang Maha agung. Tuhan yang mengajar manusia dari sisiNya ilmu dan hikmah. Maka segala puji bagiNya yang telah menurunkan Al Quran kepada kekasihNya Nabi Muhammad s.a.w, Rasul dan Penghulu segala Nabi serta selawat dan salam kepadanya di atas kesungguhannya menyinarkan cahaya kebenaran TuhanNya sebagai rahmat sekalian alam.
Di sini. awal-awal lagi Pengarang bermohon petunjuk dari Tuhan di atas satu kesedaran yang teramat mendalam bahawa diri masih bersifat kekurangan dalam segala-gala hal. Malah ilmu yang tersemat di dada jauh dari mencukupi untuk mencungkil dan mengharungi khazanah lautan ilmu Tuhan yang teramat tinggi, luas lagi mendalam. Namun demikian di atas keinsafan terwujudnya ruang dan ketandusan ulasan terhadap Al Quran. Maka biarlah diri yang kerdil ini memberanikan diri dan memulakannya di suasana bagai tertumbuhnya akar sementara di legar ketandusan rotan cendekiawan yang lebih berupaya lagi berwibawa untuk membawa kepada kamu bingkisan huraian Al Quran di rupa yang lebih tepat, padat dan mendalam di gambaran terhemburnya kegemilangan rahsia agung ilmu Al Quran ke semerata alam.
Justeru itu, wahai anak cucu. Di sini dipersembahkan sedikit halwa catitan persendirian. Semoga ianya bermunafaat kepada kamu dan menceriakan kamu dalam melihat halaman Al Quran yang kini masih berkedudukan bagai sebiji limau yang tidak dikupas, dipegang dan disayangi dengan isi manis dan lemaknya ternafi untuk berwajah hidangan. Satu dilema di fenomena yang perlu dipecah dan dirombak agar kemanisan Al Quran dapat bertapak di lidah masyarakat yang selama ini ketagih untuk mengupasnya dan menikmatinya.
Lantaran itu. Jika terdapat sebarang kekurangan dan kelemahan di dalam catitan ini. Maka itu adalah kekurangan dan kelemahan Pengarang yang perlu dimutalaahkan dengan para cendekiawan dan para ilmuan sejagat dan berbincanglah dengan mereka. Mudah-mudahan di atas kesudian mereka melihat catitan ini akan membuahkan idea dan langkah untuk mentafsirkan Al Quran secara yang lebih tersusun berasaskan disiplin pendidikan dan pembelajaran formal adanya.
Maka untuk sementara waktu. Terimalah dengan apa yang ada. Sementara Tuhan mendatangkan kepada kamu seseorang cendekiawan yang benar-benar berani lagi berwibawa yang akan memecahkan ruyung ketandusan huraian Al Quran, agar dilema yang terwujud selama ini dapat dilerai dengan keupayaan terhemburnya akliah keilmuan cendekiawan sejagat. Maka dalam kesempatan ini, marilah sama-sama kita berdoa: Wahai Tuhan Ku. Tunjukkanlah daku barang yang benar. Tunjuklah daku jalan Mu yang sebenar. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang menghidayatkan manusia ke jalan Mu. Maka jadikanlah kami di kalangan manusia yang diredhai Engkau. Amin Ya Rabbal ‘alamina – Al Fatihah.
Salam sejahtera dan selamat bermutelaah.
Dr. Halo-N
15hb November 2007
Selayang. Selangor. Malaysia.
Pengarang Al Fathun Nawa.
No comments:
Post a Comment